Dari Abi Hamzah Anas bin Malik radiyallahu anh khadam Rasulullah sallallahu alayhi sallam dari Nabi sallallahu alayhi wa sallam, sabdanya: Tiada beriman seorang kamu hingga ia mencintai untuk saudaranya apa yang ia cintai untuk dirinya, Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.
Rasulullah ada menerangkan hubungan iman seorang dengan cinta, iaitu cinta atau kasih sayang terhadap saudaranya sama seperti cintanya kepada dirinya sendiri. Cinta ini dihubungi dengan iman, sehingga kurang iman kerana kurang cintanya. Dan cinta yang dimaksudkan ialah yang didasarkan kepada agama, bukan kepada peri kemanusiaan semata-mata.
Imam Nawawi dalam huraian hadith ini menjelaskan: Bahawa lebih utama pengertian saudara (dalam hadith tersebut) digunakan dengan seluas-luasnya sehingga meliputi orang kafir dan yang Islam. Menurut pengertian ini, tambah beliau, maka wajiblah seorang Islam mencintai atau mengasihi saudaranya yang Islam supaya kekal terus dalam agama Islam. Dan kerana ini-menurut katanya-doa untuk diberi hidayah kepada orang kafir adalah disukai.
Erti tiada beriman pada hadith ini adalah ketiadaan sempurna iman (bukan ketiadaan iman) dari orang yang tidak cinta kepada saudaranya sebagaimana ia cinta kepada dirinya sendiri. Cinta yang dimaksudkan ialah cinta untuk memperolehi kebaikan dan manfa'at. Kemudian cinta itu bukanlah cinta kerana tabiat kemanusiaan tetapi kerana roh keagamaan. Kerana tabiat manusia sememangnya tidak suka melihat orang lain mendapat kebaikan atau orang lain itu berbeza keadaan daripadanya.
Seorang manusia wajib menyalahi tabiat kemanusiaan yang buruk, dan berdoa untuk saudaranya serta berharap kebaikan untuknya sebagaimana yang dilakukan untuk dirinya sendiri.
-




0 comments:
Post a Comment