Bismillaahir rahmaanir rahiim
Hidup itu insyaALLAh , Mati itu pasti.
Ya Pasti. KEMATIAN itu pasti buat semua yang bernyawa.
Tak dilengahkan atau didahului walaupun sedetik.
Bila menyentuh tentang kematian ramai diantara kita merasa takut, sedang kita tahu mati itu pasti.
Bila mendengar berita kematian awalnya kita merasa takut, takut kerana apa??????
Adakah kerana melihat kekurangan amal atau bekalan buat menemui yang MAHA ESA.
Atau takut kerana akan kehilangan kenikmatan dunia.
Sesungguhnya bagi diri ku, aku takut menghadapi mati kerana tiada bekalan buat menemui yang MAHA ESA. Tidak sanggup aku menerima hukuman yang dijanjikan buat mereka yang mengingkari segala laranganNYA. Rindu untuk bertemuNYA tapi takut mengenangkan dosa dosa dan noda noda yang telah dilakukan.
Menilai kembali akan diri ini membuat aku takut pada kematian kerana sesungguhnya tidak mampu akan aku menghadapi hukumannya.
Memikirkan apakah pernah aku memperjuangkan agamaku, berbakti pada ibubapa ku, berbakti pada saudara saudara seagama ku, pada Negara ku, pada bangsa ku dan juga pada diri ku sendiri.
Sanggupkah aku bertemu denganNYA dalam keadaan diri yang sebegini daif dan penuh dengan kotoran??? Penuh dengan dosa dan noda. Aku menjadi takut , takut pada perkara yang pasti datang dan akan menjelma pada bilal bila masa ,detik dan ketika yang mana hanya DIA yang mengetahuinya.
Diantara firman ALLAH yang bermaksud :
“ Semua yang ada di bumi ini akan binasa, dan yang tetap kekal adalah Zat yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan.” (Ar-Rahman : 26-27)
Takut pada kematian tapi diri ini masih melakukan dosa dan noda.
Sebahagian ulama berkata: Barangsiapa yang banyak mengingati mati, maka ia akan mengutamakan tiga perkara:
1) Segera bertaubat
2) Memiliki hati yang tenteram
3) Rajin beribadah
Akan tetapi barangsiapa yang melupakan kematian, maka ia akan menderita tiga perkara:
1) Menunda-nunda taubat
2) Tidak rela hidup sederhana
3) Malas beribadah
Ibrahim bin Adham ketika ditanya orang mengenai pengertian firman ALLAH yang bermaksud:
“Mohonlah kepadaKU nescaya AKU akan perkenankan permohonanmu.” (Al-Mu’min: 60)
Mereka berkata: “Kami telah memohon kepada-NYA, akan tetapi DIA tidak memperkenankan permohonan kami itu.”
Ibrahim bin Adham menjawab: “Sebab di dalam hati kamu terdapat sepuluh perkara:
1) Kamu mengetahui akan adanya ALLAH, akan tetapi kamu tidak menunaikan hakNYA.
2) Kamu membaca Al-Quran, akan tetapi kamu tidak mengamalkannya.
3) Kamu mengatakan musuhmu adalah syaitan, tetapi ternyata kamu menjadikan dia sebagai teman.
4) Kamu mengatakan mencintai Rasulullah, akan tetapi kamu tidak menjalankan sunnahnya.
5) Kamu mengatakan ingin masuk syurga, akan tetapi kamu tidak beramal untuk itu.
6) Kamu mengatakan takut kepada neraka ,akan tetapi kamu tidak berhenti dari melakukan perbuatan dosa.
7) Kamu mengatakan bahawa kematian itu pasti akan dialami oleh setiap orang, akan tetapi kamu tidak mempersiapkan diri untuk itu.
8) Kamu sibuk melihat kekurangan orang lain, akan tetapi kamu terlupa akan aibmu.
9) Kamu memakan rezeki ALLAH, akan tetapi kamu tidak mahu bersyukur kepadaNYA
10) Kamu menguburkan mayat mayat orang yang mati , akan tetapi kamu tidak mahu mengambil pelajaran dari apa yang kamu lihat itu.
Bagi orang yang sedar kematian adalah merupakan perjalanan terakhir bagi kehidupannya, tanah sebagai tempat tidurnya, ulat ulat sebagai temannya, Munkar dan Nakir yang akan memberikan pertanyaan terhadap dirinya, amalnya sebagai tempat duduknya, kubur sebagai tempat kedaimannya, barzakh sebagai tempat pemberhentian semetaranya, kiamat sebagai hari yang dijanjikan untuknya dan syurga atau neraka sebagai tempat persinggahannya necsaya kita tidak akan melupakan kematian dengan segala kejadian sesudahnya.
Kematian merupakan suatu musibah yang sangat besar dan penderitaan yang sangat hebat . Akan tetapi lebih hebat lagi sikap melalaikan diri dari mengingati mati, tidak mahu merenungkannya dan tidak mahu beramal buat menyambut kedatangannya.
Apakah aku akan terus alpa dengan kenikmatan dunia?
Apakan nanti aku tahu akan jalan pulang ku untuk menemuiNYA??
Apakah persiapan diri ini untuk menghadapi saat kematian ku nanti?
Dimanakah aku berada ? Digolongan yang mengingati kematian dan beramal buat menyambut kedatangannya atau yang melalaikan diri dengan kenikmatan hidup didunia.
Ya ALLAH berikan aku hidayat MU kerana sesungguhnya tidak mampu aku untuk menerima hukuman MU.
Berikan kekuatan pada diri ini untuk berjuang ke jalan MU dan kekuatan iman ini agar terus mengESAkan MU ya ALLAH.
Kerana tidak sanggup aku menghadapi kematianku nanti dalam keadaan diri yang penuh dengan dosa dan noda.
Sebagaimana sabda Rasullulah saw yang bermaksud:
“Pergunakanlah kesempatan lima (nikmat) sebelum datangnya lima (ujian) : pergunakanlah waktu hidupmu sebelum datang matimu ; pergunakanlah waktu sihatmu sebelum datang masa sakitmu; pergunakanlah waktu lapangmu sebelum datang masa sempitmu; pergunakanlah masa mudamu sebelum datang masa tuamu dan pergunakanlah waktu kayamu sebelum datang masa fakir (miskin) mu.” (HR. Hakim dan Baihaqi)
-




0 comments:
Post a Comment